10 March 2010 | By: shah

PENJAGAAN KULIT WAJAH – Jadikan Rutin

5 TIPS KULIT LEBIH SIHAT & SEGAR

Hari ini terdapat pelbagai produk khas yang diformulakan untuk mengatasi masalah kulit wajah lelaki. Setiap produk mempunyai keberkesanan dan dicipta untuk jenis kulit berbeza. Selain mengetahui jenis produk yang sesuai, anda juga perlu mengetahui lima langkah mudah penjagaan kulit wajah.

1. PENCUCI

Jika anda tidak melakukan langkah penjagaan wajah yang lain, mencuci adalah langkah asas yang sangat penting untuk kulit wajah. Biasanya kulit lelaki mempunyai liang-liang pori lebih besar dan liang kelenjar yang aktif. Liang kelenjar penting untuk mengekalkan kelembapan semulajadi kulit wajah, kadang kala kelenjar akan mengeluarkan sebum dengan banyak, menjadikan kulit wajah melekit dan berminyak. Jika tidak dicuci, liang-liang pori akan tersumbat dan terjadinya jerawat. Gel pencuci adalah paling sesuai, tetapi perlu diketahui tidak semua pencuci wajah dicipta untuk semua jenis kulit. Guna pencuci yang dapat menanggalkan kotoran serta minyak mengikut kesesuaian jenis kulit, pada masa yang sama, melembut dan sesuai digunakan sekurang-kurangnya sekali sehari.


2. PENYENTAL (SCRUB)

Kadang-kala mencuci kulit dengan pencuci wajah biasa tidak mencukupi. Pencuci wajah menghilangkan minyak dan kotoran hanya pada permukaan kulit, tetapi bagaimana dengan kotoran yang meresap ke dalam liang pori? Walaupun menggunakan pencuci wajah yang kuat atau kasar tetapi kotoran yang masuk ke lapisan kulit masih kekal. Jadi, penyental kulit perlu dijadikan rutin mingguan ( dua atau tiga kali seminggu ) . Dengan menggunakan penyental ( scrub ), mampu menanggalkan kotoran yang melekat di dasar kulit. Penyental yang baik bukan sahaja menanggalkan kotoran, malah juga melembutkan kulit selain memudahkan proses mencukur.


3. PELEMBAB

Produk penjagaan kulit bermula dan berhenti dengan sabun atau pencuci sahaja. Walau bagaimanapun mencuci hanya sebahagian yang boleh anda lakukan untuk melindungi kulit dari masalah seperti blackhead atau noda hitam. Bukan itu sahaja, kulit yang kering juga mempercepatkan lagi proses penuaan. Ketika mandi dan bercukur, liang-liang pori akan terbuka. Air yang meresap ke dalam kulit ketika proses uty akan hilang kemudianya, tetapi dengan menyapu pelembap ringan, dapat mengekalkan lembapan pada kulit anda. Pelembap dengan SPF dapat melindungi kulit dari sinar UV yang menyebabkan kulit terbakar. Sinar UV juga boleh menyebabkan kerosakan kulit jangka panjang dan kanser kulit. Pelembap dengan multispectrum mampu melindungi kulit anda dari sebarang masalah.


4. LINDUNGI MATA

Satu tempat di wajah yang jarang lelaki sentuh: Mata. Sebenarnya kulit di sekitar mata merupakan bahagian yang perlu diberikan perhatian khas. Walaupun lelaki dikatakan lambat mengalami proses penuaan pada kulit, namun tanda-tanda awal penuaan adalah dengan kemunculan kedutan serta garis halus di sekitar mata. Semua ini boleh dilindungi dengan menggunakan krim atau gel mata. Ia dapat melicin dan melindungi kulit tetapi syaratnya anda perlu sentiasa menjaga dan gunakan produk yang betul. Krim mata perlu disapu lembut pada bahagian tulang sekitar mata untuk kesan yang maksima dan mengelak terjadinya keradangan. Ia akan meresap dengan perlahan dan merebak ke bahagian yang mudah kedut.


5. LINDUNGI BIBIR

Satu lagi bahagian wajah yang perlu dititikberatkan adalah bahagian bibir. Kulit pada bibir sangat nipis dan mudah kering, merekah dan kadang-kala mudah berdarah apabila terdedah dengan persekitaran. Ini kerana bibir tidak mempunyai kelenjar minyak untuk membenarkannya melembap secara semula jadi. Kekeringan dan rekahan bibir yang terdedah dengan sinar matahari, tekanan serta luka kecik yang terbentuk akan memudaratkan lagi bibir. Jadi, penting untuk anda menggunakan krim atau balm pelembap bibir agar bibir sentiasa kelihatan lembap.


ADAKAH ANDA MENGALAMI KULIT BERMINYAK? Jika anda menggunakan sabun pencuci biasa untuk mencuci kulit, hentikan segera! Sabun sebenarnya akan menggalakkan lagi pengeluaran minyak pada kulit wajah. Cuba gunakan pencuci buih lembut atau pencuci susu sekiranya masalah kulit berminyak tidak terlalu serius. Tetapi jika anda perlukan pencuci lebih berat, gunakan pencuci wajah yang mengandungi salicylic asid dan beta hydroxyl. Anda juga perlu menggunakan pelembap bebas minyak.

0 comments:

Post a Comment