22 January 2011 | By: shah

Terlalu Aktif Punca Bau Badan

Lelaki sangat sinonim dengan kehidupan aktif dan lasak berbanding golongan wanita.  Oleh kerana terlalu banyak bergerak cergas dengan pelbagai aktiviti harian, badab akan sentiasa mengeluarkan peluh yang banyak.

Peluh dikeluarkan oleh kelenjar perpeluhan.  Apabila seseorang itu meningkat dewasa, kelenjar perpeluhan semakin aktif dan mula mengeluarkan zat-zat kimia tertentu hingga mengeluarkan bau yang kuat terutama di bahagian ketiak, kaki dan adakalanya di organ kelamin.

Bertitik tolak daripada itu, aspek kebersihan amat diutamakan.  Jika aspek kebersihan ini diabaikan, maka ia pasti akan mendatangkan banyak masalah.  Masalah yang tidak pernah lari dengan perpeluhan ialah bau badan.  Apatah lagi, bahagian ketiak turut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Oleh itu, jangan biarkan diri anda dibelenggu oleh masalah ini.  Jangan sampai orang di sekeliling menjauhkan diri daripada anda.  Jika anda antara yang mengalami masalah ini, atasinya segera.  Banyak cara yang boleh dilakukan agar tampil lebih yakin dalam pergaulan.  Perkara yang perlu diperhatikan ialah:

1. JAGA KEBERSIHAN TUBUH SECARA KESELURUHAN
-Cara terbaik untuk menjaga kebersihan tubuh sudah tentulah dengan kerap mandi pada setiap hari.  Gunakan sabun jenis lembut yang mengandungi antiseptik.  Mandilah dengan air yang hangat.  Cara ini akan membantu mengeluarkan semua bakteria yang menyebabkan masalah bau badan.

2. KENAKAN PAKAIAN DAN KASUT YANG BERSIH SETIAP HARI
- Pakaian berfabrik jenis kapas sangat sesuai untuk mereka yang kuat berpeluh.  Bahan kapas adalah paling efektif untuk menyerap peluh sekali gus dapat mengurangkan masalah bau badan.  Anda juga perlu ingat bahawa menjaga kebersihan badan dan pakaian bukan hanya semata-mata mahu mengurangkan masalah bau badan sebaliknya penting juga untuk kesihatan.

3. PASTIKAN SEMUA BAHAGIAN TUBUH DIBERSIHKAN
- Ketiak dan kaki adalah bahagian utama yang menyebabkan masalah bau badan yang kuat.  Ini disebabkan oleh banyak bakteria yang terkumpul di kawasan tersebut.

4. JANGAN BIARKAN BULU KETIAK TERLALU PANJANG
- Selalulah mencukur atau memotong bulu ketiak supaya bahagian tersebut lebih bersih dan rapi.  Bulu ketiak yang terlalu panjang hanya akan mengundang bakteria untuk melekat lebih lama di bahagian tersebut.

5. JAGA POLA PEMAKANAN
- Amalkan diet yang betul setiap hari.  Sebaiknya, elakkan mengambil terlalu banyak makanan yang pedas serta yang mengandungi terlalu banyak bawang putih atau bawang merah.  Ini kerana makanan-makanan tersebut jika diambil dalam jumlah yang banyak hanya akan meransang pengeluaran peluh yang akan menyebabkan masalah bau badan.

6. GUNAKAN PRODUK YANG SESUAI
- 'Antiperspirant deodorant' berfungsi untuk mengurangkan dan menghentikan pengeluaran peluh di bahagian ketiak.  Ia berbentuk 'roll on', stik, bedak atau krim.  Deodoran dan minyak wangi pula akan memberikan bau harum pada bahagian tertentu mengikut keperluan.


Kebiasaannya ia berbentuk semburan, gel dan cairan.  Elak menggunakan deodoran yang hanya menyebabkan ketiak anda hitam.  Elak memakai deodoran ketika berpeluh.  Ia hanya menyebabkan ketiak semakin basah dan berbau kuat.  Caranya, bersihkan dan lap kering terlebih dahulu bahagian ketiak terutama selepas mandi.  Anda akan merasa kesegarannya.


FAKTA TENTANG PERPELUHAN
·        Punca bau badan ialah ketidakseimbangan hormon, diet, obesiti, menopaus dan pembiakan bakteria di tempat terpencil.
·         Ketiak dan kaki adalah dua bahagian tumpuan bagi pengeluaran bau.  Kelenjar peluh yang terdapat pada kedua-dua bahagian ini sangat aktif dan lebih terlindung menyebabkan kesukaran pengaliran udara.
·        Kelembapan berlebihan akan menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih aktif.  Bau yang kuat pula disebabkan bahan buangan yang dikeluarkan oleh bakteria itu.
·        Kulit memiliki tiga kelenjar utama iaitu 'eccrine' yang mengeluarkan cecair hampir 99 peratus yang menyebabkanbasah di bahagian ketiak, kelenjar 'apocrine' pula mengeluarkan lelehan dan bakteria akan memecahkan lelehan itu hingga menyebabkan bau yang kurang menyenangkan, serta kelenjar 'sebaceous'. 

0 comments:

Post a Comment