18 February 2011 | By: shah

HIPOTENSI, BAGAI API DALAM SEKAM

ENTAH mengapa sejak akhir-akhir ini, Azmi sering merasa pening dan ingin pitam.  Kalau dia terlalu penat, pandangannya mudah kelam dan gelap.  Kalau tak dikawal, dia pasti akan pengsan.  Sangkanya, pening dan pitamnya ini berpunca daripada masalah peribadi yang sedang dihadapinya sekarang.  Walaupun ubat tahan sakit sudah berbiji-biji ditelan, ternyata ia belum mampu mengatasi masalahnya ini.

Satu hari, Azmi pengsan ketika sedang solat di surau.  Sedar-sedar sahaja, dia sudah pun berada di hospital.  Setelah mendapat penerangan daripada doctor, Azmi akhirnya akur tentang symptom pening yang dialaminya itu.  Rupanya semua ini adalah petanda dia sudah diserang penyakit hipotensi.  Apakah itu hipotensi?

Jika hipertensi bermaksud tekanan darah tinggi, hipotensi pula bermaksud tekanan darah rendah.  Sebagai lelaki, anda sangat berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini berikutan gaya hidup dan tahap tekanan yang anda biasa hadapi.  Satu masa dulu, penyakit ini lebih banyak menyerang mereka yang berusia 35 tahun ke atas sahaja.  Kini sealiran dengan perkembangan semasa, penyakit itu nampaknya sudah boleh menyerang sesiapa sahaja tidak kira peringkat usia.

Sebenarnya tubuh mempunyai mekanisme untuk menstabilkan tekanan darah.  Kestabilan tekanan darah penting kerana tekanan harus cukup tinggi untuk menghantar oksigen dan zat makana ke seluruh sel di tubuh dan membuang sisa yang dihasilkan.  Jika tekanan terlalu tinggi, ia akan memusnahkan pembuluh darah dan menyebabkan pendarahan di dalam otak (stroke hemoragik) atau kompilasi lainnya.  Jika tekanan terlalu rendah pula, darah tidak dapat membekalkan oksigen dan zat makanan yang cukup untuk sel dan tidak dapat membuang sisa pencernaan yang dihasilkan.


Apakah Itu Hipotensi?
Hipotensi ialah keadaan di mana seseorang diserang tekanan darah rendah lebih dari 90/60 mmHG.  Tekanan darah rendah ini cukup bahaya sehingga ia boleh menimbulkan gejala-gejala seperti pening,pitam dan pengsan.  Apabila tekanan darah rendah ini berada di luar kawalan, darah tidak dapat memberikan oksigen dan zat makanan yang cukup untuk sel.

Setiap individu mempunyai tekanan darah yang berbeza.  Semua ini bergantung kepada kawalan otak, jantung, buah pinggang dan ransangan di dalam salur darah.  Pada peringkat yang paling merbahaya, hipotensi boleh menyebabkan kerosakan pada jantung, endokrin dan saraf.  Tekanan darah yang rendah juga boleh menyebabkan otak dan organ-organ tubuh mengalami kekurangan oksigen dan nutrient sehingga tubuh mengalami kejutan dan akhirnya membawa maut jika tidak dirawat dengan pantas.


Faktor-faktor Hipotensi
1.       Usia
2.       Aktiviti harian misalnya merokok, pemakanan yang tidak seimbang, minum minuman keras dan sebagainya.
3.       Pendarahan tertentu
4.       Jangkitan
5.       Amalan ubat-ubatan tertentu
6.       Kawalan emosi


Apakah Penyebab Hipotensi?
Tekanan darah ditentukan oleh dua factor, iaitu jumlah darah yang dipam jantung dan ketahanan pembuluh darah pada tubuh.  Berikut adalah penyebab utama yang menyebabkan berlakunya hipotensi.

1.       Keadaan otot yang lemah.
2.       Dehidrasi dan ini menyebabkan pengurangan kandungan cecair dalam badan, misalnya muntah dan cirit-birit.
3.       Kekurangan aliran darah iaitu pendarahan yang tidak dapat dikawal.
4.       Denyutan jantung yang agak cepat mahupun terlalu lambat.



Gelaja-gejala Yang Mungkin Terjadi Akibat Hipotens
1.       Serangan jantung
2.       Demam
3.       Sakit dada
4.       Angin
5.       Cepat haus
6.       Sukar untuk fokus
7.       Mudah penat
8.       Pening setiap kali menukar posisi tubuh
9.       Pandangan mudah menjadi gelap
10.   Tekanan yang melampau
11.   Kulit mudah sejuk, pucat
12.   Mual dan muntah


Apakah Tindakan Lanjut Yang Perlu Diambil?
Sebaik sahaja anda disahkan menghidap hipotensi, kawal minda anda dan cubalah untuk berfikiran positif.  Penyakit ini boleh dikawal menerusi ubat-ubatan tertentu dan pemakanan yang seimbang.  Banyakkan mengambil air suam dan berhenti jika anda sering mengambil alcohol.  Minum banyak air boleh mengatasi dehidrasi dan meningkatkan aliran darah dalam tubuh.

Selain itu, berhati-hatilah dalam setiap pergerakan anda.  Hipotensi kerap terjadi terutama ketika pesakit bertukar posisi tubuh, misalnya bangun dari katil, membuka baku dan sebagainya.  Sebaik-baiknya, lakukan peralihan pergerakan ini perlahan-lahan.  Jangan melakukannye dengan pantas.  Tarik nafas dalam-dalam selama beberapa minit dan ubah pergerakan dengan tersusun.  Tinggikan bantal semasa tidur untuk melawan kesan graviti.

Selain itu, anda juga boleh meletakkan kaki di atas bantal.  Cara ini mampu mendorong darah mengalir dari kaki ke jantung.  Pemakanan juga perlu diambil kita.  Amalkan pemakanan yang seimbang dan pelbagaikan menu harian anda misalnya buah, sayur, daging, ikan, ayam dan makanan lain yang mengandungi gizi seimbang.

0 comments:

Post a Comment